Awasi Jangkitan Rotavirus

Wednesday, December 09, 2009

Sedikit info mengenai Rotavirus. Bahaya rupanya sebab boleh bawa maut. Selama ni aku dengar pasal Rotavirus, tapi tak berapa nak kisah sangat. Tapi bila anak sendiri dah kena, baru kita tahu betapa pentingnya kita amik kisah mengenai penyakit berjangkit ni. Faktor kebersihan pon salah satu penyebab penyakit ni.

Vaksin tambahan boleh elak si kecil dijangkiti virus bahaya

RAMAI ibu bapa mungkin memikirkan program imunisasi yang memberikan suntikan vaksin antara tujuh hingga lapan jenis kepada anak sebelum mencapai usia tujuh tahun, mencukupi melindungi anak-anak daripada pelbagai penyakit berbahaya.

Bermula sejak puluhan tahun lalu, antaranya suntikan diterima termasuklah vaksin bacille calmette guerin (BCG) dan hepatitis B bagi memberi perlindungan daripada penyakit malaria, batuk kering dan Hepatitis B, hakikatnya ia belum mencukupi melindungi daripada serangan pelbagai jenis virus lain lagi sama ada yang baru dijumpai atau baru ditemui penawarnya.

Perunding Pediatrik, Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Lee Way Seah, berkata virus dipanggil rotavirus, penyebab utama gastroenteritis antara menyerang kanak-kanak tanpa memikirkan sempadan sosial dan ekonomi, bukanlah baru tetapi masih ramai yang belum begitu menyedari mengenai jangkitan dan penawarnya.

Virus yang ditemui pada 1973 dan berasal dari Australia itu adalah penyebab utama masalah cirit-birit dan muntah di kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun. Dalam tempoh lima tahun pertama hidup mereka, dianggarkan hampir setiap kanak-kanak mengalami masalah cirit-birit akibat jangkitan rotavirus sekurang-kurangnya sekali dengan satu daripada 65 kes akan dimasukkan ke hospital.

Prof. Lee berkata, walaupun ada yang menganggap cirit-birit dan muntah adalah perkara biasa, ia tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang maut. Katanya, setiap tahun dianggarkan 2 juta kanak-kanak dimasukkan ke hospital disebabkan virus berkenaan, dan apa yang membimbangkan data menunjukkan ia juga membabitkan 440,000 kematian.

"Data daripada J Infect Dis 2005 menunjukkan beban rotavirus sekitar negara Asia tidak banyak berbeza dengan Malaysia membabitkan 49 peratus, Indonesia (54 peratus) dan Thailand (43 peratus). Dianggarkan setiap tahun kira-kira 15,000 kanak-kanak bawah usia lima mendapatkan rawatan di hospital sebagai pesakit luar. Bagaimanapun, daripada jumlah berkenaan membabitkan 9,000 kemasukan ke hospital dan 34 kematian.

"Di Malaysia lebih banyak dilaporkan berlaku pada penghujung tahun iaitu ketika musim tengkujuh. Faktor tersebar berkait rapat juga dengan faktor kebersihan, tetapi bukti terlalu kukuh mengenainya belum disahkan.

“Apabila dijangkiti, seseorang kanak-kanak biasanya akan demam, muntah dan cirit-birit sehingga boleh membawa maut akibat kehilangan terlalu banyak air dari badan. Kehilangan air dengan banyak boleh dikesan apabila kita mencubit sedikit kulit pada tubuh bayi, kulit yang dicubit itu lambat ‘turun’ sebaliknya tegak seperti keadaan ketika dicubit,” katanya yang menyatakan kehilangan air boleh membawa tekanan darah rendah, kegagalan fungsi buah pinggang, selain kematian.

Jangkitan rotavirus banyak berlaku di kalangan kanak-kanak dengan lebih kurang 70 peratus pesakit yang dijangkiti bawah usia dua tahun. Walaupun kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang dalam aspek kesihatan, sehingga kini vaksin menentang rotavirus belum boleh didapati secara percuma di hospital dan pusat kesihatan kerajaan.

Sehingga kini terdapat vaksin diperkenalkan Glaxo Smith Kline (GSK) dan Merck Sharp & Dohme (MSD) yang mana GSK menawarkan dua dos dan diberikan kepada kanak-kanak berusia seawal enam minggu dan untuk mendapat perlindungan sepenuhnya setiap bayi memerlukan dua dos vaksin yang diambil secara oral.

MSD pula menawarkan vaksin dengan tiga dos suntikan yang perlu diselesaikan. Vaksin itu berfungsi merangsang badan untuk meniru tindak balas imunisasi terhadap jangkitan rotavirus semulajadi. Kajian menunjukkan keberkesanan vaksin sehingga 98 peratus.

Prof. Lee berkata, virus berkenaan mempunyai daya ketahanan tinggi, boleh hidup beberapa jam di atas tangan manusia dan beberapa hari di atas permukaan keras yang tidak sesuai untuk membiak. Ia boleh kekal stabil dalam najis manusia sehingga seminggu.

Malangnya amalan kebersihan seperti kerap mencuci tangan, meningkatkan tahap kebersihan dan penjagaan kesihatan masih tidak dapat membendung masalah jangkitan rotavirus kerana kanak-kanak di negara maju pun turut mengalami masalah gastroenteritis.

Masalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian. Virus boleh tersebar melalui sentuhan dengan individu dijangkiti dan permukaan atau objek yang dihinggapi virus serta pengambilan makanan atau minuman tercemar. Malah penjaga yang tidak mencuci tangan dengan bersih selepas menukar lampin bayi juga adalah antara cara penyebaran virus kepada bayi lain.

“Kanak-kanak dijangkiti biasanya mengalami cirit-birit, demam, muntah dan sebagainya yang boleh membawa antara tiga sehingga sembilan hari atau lebih,” katanya.

Jangkitan rotavirus boleh menjadi serius apabila kanak-kanak mula mengalami masalah kekurangan air. Pada ketika ini, badan mereka menjadi amat lemah dan sistem pertahanan badan masih belum mampu melindungi pesakit daripada jangkitan.

Hingga kini tiada rawatan yang boleh menentang rotavirus. Rawatan yang ada hanyalah untuk mengurangkan gejala jangkitan seperti demam dan memberikan air sama ada secara oral atau suntikan ke dalam salur darah.

Prof. Lee berkata, ibu bapa perlu mendapatkan penawar rotavirus kerana ia bukan saja membebankan si kecil, tetapi pada masa sama turut menjejaskan produktiviti ibu bapa akibat terpaksa mengambil cuti bekerja, selain memerlukan banyak belanja perubatan setiap kali anak mendapat jangkitan.

INFO : Rotavirus

•Ada di sekeliling kita dan tersebar dengan cepat melalui kitaran najis ke mulut. Apabila dijangkiti, seseorang kanak-kanak biasanya akan demam, muntah dan cirit-birit sehingga boleh membawa maut akibat kehilangan terlalu banyak air daripada badan.

•Rotavirus amat mudah berjangkit dan boleh hidup beberapa hari sehingga seminggu di atas permukaan sebarang objek sehingga ia mendapat perumah baru (menjangkiti orang lain). Masalah muntah dan cirit-birit akibat rotavirus adalah jauh lebih tinggi berbanding jangkitan bakteria lain seperti Escherichia coli (E. coli).

•Bayi yang dijangkiti akan mengalami demam, muntah dan cirit-birit antara 10 hingga 20 kali sehari. Ini adalah keadaan yang serius kerana ia menyebabkan dehidrasi (kekurangan air) dan boleh membawa maut.


You Might Also Like

3 comments

  1. fiza
    thanx for the info...baru nak tanya apa itu rotavirus..

    ReplyDelete
  2. Ooo gud entry..thanks for sharing:)

    ReplyDelete
  3. ZARIN: Sama² zarin.

    MIMI: Sharing is caring ☺☺.

    ReplyDelete

Popular Posts

Labels

Blog Archive